Wednesday, June 29, 2011

Layu Dalam Melayu

 Aku lihat layu dalam Melayu
 Aku pasti bukan aku seorang sahaja yang nampak
 Ada juga bercadang bertanya tuan punya
 Tapi bercampur risau dengan tak tergamak
 Nanti di kata tak bersyukur
 Di kata tak sedar diri
 Jadi aku menyendiri memerhati
 Dan akhirnya mengakui
 Yang kita sendiri membiarkan bunga raya layu ke kanan
 Dan dibiar bunga tak cantik mekar di kiri

 Aku lihat layu dalam Melayu
 Tanah air kita yang punya kita siram kita baja
 Tapi angin api kita lupa
 Mereka merancang masa menjilat bangsa
 13 Harimau bertukar menjadi mangsa
 Kita lupa nenek moyang kaya raya
 Jangan sekali- kali di gadai harta bendanya
 Ku lihat layu dalam Melayu
 Ku lihat layu dalam Melayu
 Ku lihat layu dalam Melayu

 Takkan Melayu hilang di dunia
 Ya.Tapi apa guna tak hilang di dunia
 Kalau kewujudan tidak dirasa
 Petah berbahasa kudrat tak berjasa
 Orang berbudi kita hanya tahu merasa
 Selalu lari bila di rapat
 Selalu malu bila soalan di aju
 Selalu segan memberi pendapat
 Rela mengikut dari meneraju
 Belum nyanyi sudah bersorak
 Suka berjanji dalam borak
 Bukan kata tak ada otak
 Cuma tak berfikir di luar kotak
 Ku lihat layu dalam melayu
 Ku lihat layu dalam melayu
 Ku lihat layu dalam melayu

 Aku jadi sayu
 Bunga menangis dia mendayu
 Mahu jadi cantik tapi ragu
 Aku merayu
 Bangunlah semula hidup kembali
 Jangan tunggu matahari mati
 Cepatlah mekar sebelum terlerai
 Perjuangan kita belum selesai
 Perjuangan kita belum selesai
 Perjuangan kita belum selesai

No comments:

Post a Comment